Kerajaan Negeri Selangor menerusi Menteri Besar, Dato’ Seri Amiruddin Shari lebih cenderung kepada pembangunan baharu Kompleks Sukan Shah Alam berbanding membaik pulih.
Ini berikutan kos untuk membaik pulih kompleks yang merangkumi Stadium Shah Alam (SSA) dan stadium tertutup, Stadium Melawati itu menelan belanja sebesar RM787 juta serta merumitkan.
Menurut Amirudin, kos baik pulih sebesar RM787 juta itu berdasarkan kajian terbaru oleh pelbagai pihak yang merangkumi kos meninggikan platform stadium sebanyak 1.5 meter (m) bagi mengelak kejadian banjir berulang.
Selain itu, ianya turut melibatkan kos menukar sistem pendawaian elektrik secara keseluruhan, meruntuhkan bumbung sedia ada dan menukar keseluruhan struktur bumbung, pembaikan padang dan membaiki sistem perpaipan.
Disebabkan kos membaik pulih yang tinggi dan rumit, Kerajaan Negeri cenderung utk pembangunan baru Kompleks Sukan Shah Alam yang meliputi Stadium Shah Alam dan Stadium Melawati. Kos pembangunan baru dijangka lebih murah berbanding kos baikpulih semula. Ini telah saya jelaskan https://t.co/EuDfDHigoQ
— Amirudin Shari (@AmirudinShari) July 18, 2022
Disebabkan kos yang tinggi ini, Amirudin berkata pihaknya lebih cenderung kepada pembangunan baharu bagi Kompleks Sukan Shah Alam ini.
Jumaat lalu, dalam Majlis Penyerahan Surat Niat (LOI) Pembangunan Kompleks Sukan Shah Alam dan sidang media, Amirudin mengumumkan memilih Malaysian Resources Corp Berhad (MRCB) mengatasi beberapa syarikat yang lain untuk menguruskan kerja-kerja pembangunan tersebut.
Difahamkan, pihak Kerajaan Negeri melantik MRCB selepas mengambil kira kedudukan kewangan syarikat ini serta pengalamannya membaik pulih Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) pada 2017 yang lalu.
Turut dimaklumkan oleh Amiruddin, kos pembangunan semula Kompleks Sukan Shah Alam ini tidak melibatkan sebarang dana Kerajaan Negeri berikutan ianya bersifat perkongsian awam-swasta dimana MRCB akan dianugerahkan pertukaran tanah (land swap).
Pada masa yang sama, Amiruddin turut mendedahkan, sebuah pameran awam akan dilangsungkan pada September kelak untuk memaparkan ilustrasi awal kawasan kompleks sukan dan rancangan pembangunan kawasan sekitarnya.