Zlatan Ibrahimovic Kekal Bersama AC Milan Sehingga Usia 41 Tahun
July 19, 2022 Hafizuddin Omar

Penyerang veteran kelahiran Sweden, Zlatan Ibrahimovic nampaknya meneruskan kariernya bersama AC Milan sekurang-kurangan sehingga usianya 41 tahun.

Ini selepas pasukan yang menjuarai saingan Serie A musim lalu itu mengumumkan pembaharuan kontrak Ibrahimovic sehingga 30 Jun 2023 menerusi satu kenyataan media, semalam.

Selain itu, Ibrahimovic bakal menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke-41 pada 3 Oktober nanti turut dimaklumkan akan terus menyarung jersi bernombor 11 bersama AC Milan.

Bagaimanapun, kelibat Ibrahimovic di atas padang bersama AC Milan musim akan datang tidak dipastikan lagi. Ini berikutan dia baru sahaja selesai menjalani pembedahan di lutut kirinya pada penghujung Mei lalu.

Ketika itu, kelab memaklumkan Ibrahimovic akan dijangka mengambil masa antara tujuh hingga lapan bulan untuk sembuh sepenuhnya selepas daripada pembedahan terbabit.

Untuk makluman semua, Ibrahimovic berhasil merekodkan 23 penampilan serta menjaringkan lapan gol dan mencipta 3 “assist” yang membantu AC Milan kembali menjuarai saingan Serie A yang pertama selepas 11 tahun yang lalu.

Selain itu, kejuaraan liga ini juga adalah yang ke-19 dimenangi oleh AC Milan dalam sejarahnya.

Featured Image: AC Milan

Komen