Artikel

Penang Minta Endrick Ambil Cuti Rehat, Bakal Terlepas Perlawanan Menentang JDT

Pemain import merangkap kapten Penang FC, Endrick dos Santos Parafita bakal terlepas tiga perlawanan termasuk menentang pendahulu Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT), esok.

Selain terlepas perlawanan menentang skuad Harimau Selatan di laman sendiri, Endrick juga bakal terlepas aksi menentang Melaka United dan Sarawak United pada 26 dan 31 Julai masing-masing.

Ini berikutan kelabnya, pada hari ini, memaklumkan pemain tengah kelahiran Brazil berusia 27 tahun itu diminta untuk mengambil cuti rehat sehingga 31 Julai.

“Adalah dimaklumkan bahawa tiada arahan atau hukuman penggantungan pemain dilaksanakan oleh pihak Pengurusan Penang FC.” tulis kenyataan tersebut.

“Beliau (Endrick) hanya diminta mengambil cuti rehat sehingga 31 Julai 2022.” tambah kenyataan itu lagi.

Perkara tersebut dimaklumkan oleh majikannya bagi menafikan satu hantaran oleh sebuah akaun laman sosial peminat kelab berkenaan, Penang Brotherhood yang menyatakan Endrick digantung sehingga Ogos.

Untuk makluman semua, Endrick telah tampil sebanyak 9 daripada 11 perlawanan Liga Super musim ini. Dia hanya tidak beraksi atau tersenarai dalam skuad ketika perlawanan pertama menentang JDT serta Melaka United pada awal musim.

Featured Image: Penang FC

komen