Terbuka Taipei: Jun Hao Lepasi Peringkat Kelayakan, Mara Ke Pusingan 32
July 19, 2022 Hafizuddin Omar

Perseorangan lelaki negara, Leong Jun Hao menjadi wakil tunggal negara yang berjaya melepasi peringkat kelayakan dan mara ke Pusingan 32 saingan Terbuka Taipei 2022.

Pemain berusia 23 tahun yang menghuni ranking ke-117 dunia ini mengesahkan kemaraan selepas berjaya menumpaskan pemain tuan rumah, Liao Jhuo-Fu (ranking ke-556) di suku akhir peringkat kelayakan.

Perlawanan tersebut dimenanginya dengan skor 11-21, 22-20 dan 21-18 dalam tempoh masa sekitar satu jam permainan.

Sebelum itu, Jun Hao berhasil mencetak kemenangan pada perlawanan pertama peringkat kelayakan juga ke atas pemain tuan rumah, Su Li Yang dengan skor berkesudahan 21-9, 18-21 dan 21-12.

Di Pusingan 32 esok, Jun Hao akan bertemu pemain India, Subhankar Dey yang menghuni ranking ke-65 dunia bagi merebut tiket ke Pusingan 16.

Sementara itu, dua lagi wakil negara yang beraksi di peringkat kelayakan iaitu Lim Chong King dan Jacky Kok Jing Hong terpaksa akur kandas.

Chong King kandas seawal perlawanan pertama di tangan pemain tuan rumah, Chi Yu Jen manakala Jacky pula tumpas pada perlawanan kedua juga kepada pemain tuan rumah, Yu Sheng Po.

Featured Image: Badminton Association of Thailand

Komen