Paulo Dybala Tolak Pelawaan Sarung Jersi No.10 AS Roma
July 21, 2022 Hafizuddin Omar

Pemain baharu AS Roma, Paulo Dybala menolak pelawaan untuk menyarung jersi bernombor 10 yang pernah digunakan oleh legenda kelab, Francesco Totti.

Pemain tengah menyerang berusia 28 tahun itu berbuat demikian kerana percaya nombor tersebut cukup signifikan dengan Totti yang beraksi selama 24 tahun bersama skuad berjulukan Giallorrosi ini.

“Saya bercakap dengan pengurus besar dan dia bertanyakan jika saya mahu mengambil (jersi) bernombor 10, yang mana sudah semestinya sangat signifikan di sini kerana segala-galanya yang dilakukan oleh Totti.” katanya seperti dipetik daripada laman rasmi AS Roma.

Sebaliknya, Dybala dengan gembiranya memilih untuk menyarung jersi bernombor 21 bersama AS Roma. Nombor ini pernah disarungnya ketika dia beraksi bersama Juventus serta bersama skuad kebangsaan Argentina.  

Untuk makluman semua, Dybala diperkenalkan secara rasmi oleh AS Roma semalam sambil menandatangani kontrak selama tiga tahun – berlanjutan sehingga 30 Jun 2025.

Dia menyertai skuad kendalian Jose Mourinho ini secara percuma setelah kontraknya bersama Juventus tamat pada penghujung musim lalu.

Selama tujuh musim bersama Juventus, Dybala merekodkan 293 penampilan, menjaringkan 115 gol dan mencetak 48 “assist” yang membantu skuad Old Lady menjulang lima kejuaraan Serie A, empat gelaran Coppa Italia dan tiga trofi Supercoppa Italiana.

Featured Image: AS Roma

Komen