Penyerang skuad kebangsaan Senegal merangkap pemain baharu Bayern Munich, Sadio Mane dinobatkan selaku Pemain Terbaik Afrika Tahunan dalam Anugerah CAF 2022.
Anugerah ini hadir selepas dia menumpaskah dua finalis yang lain termasuk bekas rakan sepasukannya di Liverpool dari Mesir, Mohamad Salah dan penjaga gol Chelsea merangkap rakan sepasukannya dalam skuad kebangsaan Senegal, Edouard Mendy.
Ini merupakan anugerah pemain terbaik yang kedua dimenanginya selepas memenanginya dalam edisi tahun 2019 yang lalu.
Royalty.#CAFAwards2022 pic.twitter.com/crjgOPTbkx
— CAF (@CAF_Online) July 21, 2022
Pemilihannya selaku pemenang turut didorong oleh kerja kerasnya memimpin Senegal menjuarai saingan Piala Negara-Negara Afrika buat julung kalinya dengan menumpaskan Mesir dalam perlawanan akhir yang berlangsung Februari lalu.
Musim terakhirnya bersama Liverpool pula menyaksikan Mane merekodkan 51 penampilan, menjaringkan 23 gol dan menghasilkan 5 “assist” yang membolehkannya menjulang Piala FA dan Piala Carabao.
Majlis anugerah yang berlangsung di Rabat, Maghribi semalam turut menobatkan ketua jurulatih skuad kebangsaan Senegal, Aliou Cisse selaku Jurulatih Terbaik Tahunan serta pemain Tottenham Hotspur, Pepe Matar Sarr sebagai Pemain Muda Terbaik Tahunan.
Untuk makluman semua, majlis anugerah ini dibatalkan pada tahun 2020 dan 2021ekoran pandemik Covid-19.
Featured Image: CAF