Selepas 22 tahun bersama Manchester United (Man Utd), pemain tengah menyerang kelahiran England, Jesse Lingard kini beralih angin dan menjadi pemain Nottingham Forest.
Pemain berusia 29 tahun ini diperkenalkan secara rasmi sebagai pemain pasukan yang baru sahaja mendapat promosi ke saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) itu menerusi satu pengumuman di laman sesawang rasminya, awal pagi tadi.
Memetik laporan The Athletic, Lingard dimaklumkan menandatangani kontrak bersama skuad The Garibaldi ini selama setahun. Dia menyertai pasukan ini sebagai ejen bebas setelah kontraknya bersama skuad Red Devils tamat penghujung Jun lalu.
Untuk makluman semua, Lingard menyertai Man Utd bermula zaman remajanya pada tahun 2000 sebelum menyertai skuad senior pada tahun 2011.
Welcome to Nottingham Forest, @JesseLingard ❤️
— Nottingham Forest (@NFFC) July 21, 2022
Sepanjang menyertai Man Utd, Lingard telah merekodkan 231 penampilan, menjaringkan 35 gol dan mencipta 21 “assist” kepada rakan sepasukannya.
Sepanjang tempoh itu juga, Lingard turut menyertai beberapa pasukan secara pinjaman seperti Leicester City, Birmingham City, Brighton & Hove Albion, Derby County dan West Ham United.
Difahamkan, terdapat beberapa pasukan yang berminat untuk mendapatkan khidmat Lingard dalam jendela perpindahan ketika ini. Antaranya West Ham United, Everton serta beberapa pasukan lain di United Kingdom.
Namun begitu, Nottingham Forest yang menamatkan saingan divisyen kedua bola sepak England, Liga Kejuaraan di tangga keempat pada musim lalu berjaya mendapatkan tandatangan pemain yang bakal menjengah usia 30 tahun pada Disember kelak.
Sebagai tambahan, Lingard menjadi pemain baharu yang kesebelas dibawa masuk menyertai skuad kendalian Steve Cooper pada jendela perpindahan kali ini.
Featured Image: Nottingham Forest