Ravichandran Tharumalingam atau dikenali sebagai Ravi Everest menjadi pendaki pertama negara yang berjaya menawan gunung kedua tertinggi di dunia, K2 di Pakistan.
Pendaki berusia 57 tahun yang merupakan orang kurang upaya (OKU) tiba di puncak yang berketinggian 8,611 meter (m) pada Jumaat lalu bersama pendaki-pendaki solo yang lain serta diiringi lima sherpa, menurut pelbagai laporan media.
Untuk makluman, sesuai dengan nama timangannya iaitu Ravi Everest, gunung tertinggi di dunia, Gunung Everest juga sudah pernah ditawannya.
Malahan gunung berketinggian 8,848m itu bukan sahaja didakinya sebanyak satu kali tetapi tiga kali dimana pendakian terbarunya adalah pada bulan Mei lalu. Dua pendakian terdahulunya ke puncak Gunung Everest berlangsung pada tahun 2006 dan 2007.
Ketika di pendakian keduanya itulah beliau kehilangan lapan jarinya akibat daripada radang dingin (frostbite).
Sebagai tambahan, Ravichandran mula berkecimpung dalam aktiviti luar dan pendakian gunung pada tahun 1993. Pendakian pertamanya adalah menuju ke Everest Base Camp dan mendaki Gunung Kalapathar (5,644m) di wilayah Nepal.
Bermula daripada itu, Ravichandran memasang impian melengkapkan “Grand Slam of Mountaineering” iaitu menawan kesemua 14 gunung tertinggi dunia yang berketinggian 8000m ke atas serta “Seven Summit” kesemua gunung tertinggi di setiap benua.
komen
Tiada komen
Tiada lagi komen untuk artikel ini.
Jadi yang pertama untuk komen!