Kejuaraan B-16 AFF: Hamidin Gesa Pemain Pergi Dengan Niat Untuk Menjadi Juara
July 25, 2022 Hafizuddin Omar

Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Haji Hamidin Mohd Amin menggesa skuad negara bawah 16 tahun (B-16) menanamkan niat untuk menjadi juara dalam saingan Kejuaraan B-16 AFF.

Pesanan itu disampaikan oleh Hamidin semasa bertemu barisan pemain dan pegawai pasukan skuad kendalian Osmera Omaro di Wisma FAM baru-baru ini.

“Saya rasa pasukan ini boleh pergi jauh. Dengan pengalaman dimiliki barisan kejurulatihan dan juga pemain terbaik yang kita ada, kita boleh melepasi peringkat separuh akhir dan seterusnya ke final. 

“Jika berjaya muncul juara, ia sesuatu yang bagus kerana ini antara pasukan masa depan kita. Kalau kita nak pergi ke peringkat ke lebih tinggi, kita perlu meningkatkan lagi pengetahuan dan pengalaman. 

“Sudah tentu, komitmen tinggi setiap pemain dan pegawai dalam dan luar padang akan menghasilkan kejayaan kepada pasukan. Tekanan pasti ada tetapi saya yakin, pasukan ini memiliki kualiti. Saya doakan pasukan ini berjaya,” katanya seperti dipetik daripada platform media sosial FAM.

Ketika ini, skuad negara masih lagi menjalani latihan pusat di Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil bermula Isnin minggu lalu. 

Untuk makluman semua, kejohanan ini akan berlangsung bermula 31 Julai hingga 12 Ogos kelak bertempat di Yogyakarta, Indonesia.

Dalam kejohanan ini, skuad negara telah diundi bersama-sama Kemboja, Myanmar dan Australia dalam Kumpulan C. Mereka dijadualkan menentang ketiga-tiga pasukan tersebut pada 2, 5 dan 8 Ogos masing-masing.

Featured Image: FAM

Komen