World Athletics Akan Perkenalkan Pusingan ‘Repechage’ Dalam Acara Balapan Sukan Olimpik Paris 2024
July 25, 2022 Hafizuddin Omar

Badan induk bagi acara balapan dan padang, World Athletics memaklumkan akan memperkenalkan pusingan ‘repechage’ dalam kesemua acara individu di temasya Sukan Olimpik Paris 2024.

Menerusi satu makluman rasmi yang dikeluarkan badan terbabit pada hari ini, format saingan yang disertakan dengan pusingan ‘repechage’ ini akan diterapkan bermula acara berjarak 200 meter (m) hingga 1500m termasuk acara berpagar.

Format baharu ini menyaksikan mana-mana atlet yang terkandas di pusingan pertama akan diberikan peluang kedua untuk mara ke pusingan separuh akhir dengan mengambil bahagian di pusingan ‘repechage’. 

Perkembangan ini menjadikan sebarang acara balapan dengan format baharu ini akan mempunyai empat pusingan – pusingan pertama, pusingan ‘repechage’, pusingan separuh akhir dan pusingan akhir.

Sebagai perbandingan, format lama hanya merangkumi tiga pusingan sahaja iaitu pusingan pertama, pusingan separuh akhir dan akhir.

Sementara itu, bagi acara pecut 100m, ianya sudah mempunyai pusingan saringan sebelum daripada pusingan pertama. Justeru, pusingan ‘repechage’ tidak akan diperkenalkan dalam acara ini.

Featured Image: World Athletics

Komen