Penghuni perseorangan wanita No.2 negara kini bertukar tangan dan menjadi milik pemain berusia 22 tahun, Goh Jin Wei. Sebelum ini, status pemain No.2 negara itu dimiliki oleh Kisona Selvaduray.
Ianya berdasarkan kemaskini terbaru ranking dunia oleh Persekutuan Badminton Dunia (BWF) pada hari ini menunjukkan Jin Wei yang mara ke peringkat suku akhir Terbuka Taipei 2022 pada minggu lalu telah mengatasi kedudukan Kisona.
Hasil kemaraan ke peringkat tersebut telah melonjakkan kedudukan Jin Wei sebanyak tujuh anak tangga sekaligus meletakkannya di ranking ke-53 dunia pada minggu ini.
Kisona yang terkandas seawal Pusingan 32 di kejohanan yang sama merekodkan penurunan dua anak tangga dan kini menghuni ranking ke-56 dunia sekaligus menjadi perseorangan wanita No.3 negara.
Sementara itu, kedudukan perseorangan wanita No.1 negara masih menjadi milik pemain senior, Soniia Cheah dimana di menghuni ranking ke-42 dunia.
Menyelusuri kemaskini terbaru ranking terbabit, satu peningkatan ketara diperlihatkan melibat seorang lagi pemain muda wanita negara iaitu Eoon Qi Xuan.
Pemain berusia 21 tahun ini turut mengambil bahagian dalam saingan Terbuka Taipei dan dia berhasil beraksi sehingga ke Pusingan 16.
Kemaraan ke peringkat tersebut melonjakkannya sebanyak 14 anak tangga dan meletakkannya di ranking ke-115 dunia.
Featured Image: Badminton Association of Malaysia