Artikel

Thailand Rancang Layak Ke Sukan Olimpik – Hanya Pemain Lahir Selepas Januari 2001 Akan Sertai Saingan B-23 

Persatuan Bola Sepak Thailand (FAT) berhasrat melayakkan skuad bawah 23 tahunnya (B-23) dalam acara bola sepak di temasya Sukan Olimpik Paris 2024 dan satu pelan khusus telah dirancang.

Menerusi satu perkongsian di laman sosialnya, FAT memaklumkan kesemua pertandingan atau kejohanan bagi kategori umur B-23 sepanjang tahun 2022 hingga 2024 akan disertai oleh pemain-pemain yang lahir selepas 1 Januari 2001 (berusia 21 tahun dan 6 bulan atau lebih muda) sahaja.

Selain itu, mereka juga menetapkan tidak akan menggunakan atau mengisi kuota pemain lebih umur di dalam skuad ini sepertima yang dibenarkan dalam sesetengah penganjur kejohanan seperti temasya Sukan SEA dan Sukan Asia.

Difahamkan, badan induk dan barisan kejurulatihan sudah mempunyai sekelompok pemain yang akan dipertaruhkan untuk beraksi dengan pasukan ini bagi merealisasikan perancangan mereka untuk ke temasya Sukan Olimpik.

Namun begitu, FAT tetap akan memantau pemain-pemain lain di luar kelompok tersebut yang menunjukan prestasi memberangsangkan di pelbagai kejohanan terutamanya bersama pasukan kelab masing-masing.

Ini bagi memastikan FAT tidak menutup sebarang peluang kepada pemain-pemain yang tidak berada dalam senarai awal kelompok daripada menyertai skuad ke Sukan Olimpik asalkan termaktub dalam kriteria umur seperti dinyatakan di atas.

Untuk makluman semua, antara saingan antarabangsa bagi kategori B-23 bagi sepanjang tahun 2022 hingga 2024 adalah seperti berikut:

  • Kejuaraan B-23 AFF 2023
  • Sukan SEA Kemboja 2023
  • Sukan Asia 2022 (Ditunda ke September 2023)
  • Kelayakan Piala Asia B-23
  • Piala Asia B-23

Sebagai tambahan, untuk melayakkan diri ke temasya Sukan Olimpik Paris 2024, mana-mana pasukan dari benua asia perlu menjadi tiga pasukan terbaik di saingan Piala Asia B-23 pada tahun 2024 kelak.

Featured Image: FA Thailand

komen