Benjamin Mora Pulang Ke Mexico, JDT Tiada Ketua Jurulatih
July 27, 2022 Hafizuddin Omar

Pengendali kelahiran Mexico, Benjamin Mora dan pendahulu Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) secara rasminya berpisah.

Ini selepas kelab berkenaan memaklumkan jurulatih berusia 43 tahun tersebut meminta untuk membenarkannya pulang ke negaranya bagi menyelesaikan urusan peribadi yang tidak dapat dielakkan.

JDT selaku majikannya menghormati permintaan tersebut dan membenarkan pemergian Mora.

Sebelum ini, ketiadaan Mora dalam dua perlawanan liga telah menimbulkan tanda tanya bukan sahaja dalam kalangan peminat skuad Harimau Selatan malahan kebanyakan pendukung saingan bola sepak tempatan.

Bagaimanapun, tiada sebarang makluman mengenai pengganti Mora selaku ketua jurulatih diumumkan JDT setakat ini.

Untuk makluman semua, Mora menjadi ketua jurulatih yang paling berjaya bersama JDT dengan mengemudi skuad berkenaan memenangi empat gelaran Liga Super, empat trofi Piala Sumbangsih, satu Piala Malaysia serta merekodkan kemaraan ke peringkat kalah mata Liga Juara-Juara AFC buat pertama kali.

Sebagai rekod, Mora telah mengendalikan 148 perlawanan sepanjang dua kali tugas bersama skuad senior JDT sejak tahun 2017 dan memenangi 102 perlawanan.

Featured Image: JOHOR Southern Tigers

Komen