Malaysia B-19 Pertaruh 70% Muka Baharu Hadapi Kejohanan Antarabangsa Jemputan Di Vietnam
July 29, 2022 Hafizuddin Omar

Ketua jurulatih skuad kebangsaan bawah 19 tahun (B-19), Hassan Sazali Mohd Waras menyenaraikan 70% muka baharu untuk menghadapi sebuah kejohanan jemputan yang berlangsung di Vietnam, bermula minggu hadapan.

Menurut makluman daripada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), hanya enam pemain sahaja yang dipanggil pada kali merupakan anggota skuad yang menjuarai saingan Kejuaraan B-19 AFF, pertengahan Julai lalu. Selebihnya, 14 pemain lagi merupakan muka baharu.

Kesemua 20 pemain yang dipanggil ini akan menyertai kem latihan pusat bermula 2 Ogos (Selasa) kelak.

Untuk pengetahuan semua, Kejohanan Bola Sepak Remaja Antarabangsa B-19 ini merupakan anjuran Konfederasi Bola Sepak Vietnam (VFF). Ianya akan dilangsungkan bermula 5 hingga 11 Ogos kelak di Binh Duong, Vietnam.

Di kejohanan ini, Malaysia akan berhadapan dengan skuad tuan rumah serta dua buah pasukan ASEAN iaitu Thailand dan Myanmar. Malaysia akan memulakan saingan dengan menentang Thailand (5 Ogos) diikuti dengan Vietnam (7 Ogos) dan Myanmar (9 Ogos).

Manakala perlawanan penentuan tempat ketiga dan perlawanan final akan berlangsung pada 11 Ogos.

Difahamkan, Malaysia mengambil bahagian dalam saingan jemputan ini sebagai persiapan untuk menghadapi cabaran Kelayakan Piala Asia B-20 2023 yang akan berlangsung pada September nanti.

Featured Image: FAM / AFF

Komen