Skuad kebangsaan senior Liberia mengumumkan mencari pengendali baharu bermula hari ini bagi menggantikan ketua jurulatih sedia ada, Peter Butler.
Pencarian ini dilakukan selepas pihak Persatuan Bola Sepak Liberia (LFA) berbincang dengan Butler dimana kontrak jurulatih berusia 55 tahun kelahiran England ini tidak akan dilanjutkan apabila tamat hujung Ogos nanti.
Menurut LFA, permohonan jawatan ini dibuka kepada semua individu yang berminat untuk melatih skuad berjulukan Lone Star tanpa mengira jurulatih tempatan atau dari luar negara. LFA menawarkan gaji bermula sekitar RM8,900 sehingga RM66,000 bergantung kepada kategori kelayakan.
Antara kriteria yang dimahukan LFA adalah mempunyai minimum lesen kejurulatihan, Lesen Pro UEFA atau CAF B atau CAF A. Selain itu, pemohon sekurang-kurangnya merupakan lepasan diploma dan mempunyai skil asas teknologi maklumat (IT) dalam MS Word, Excel dan Power Point.
Untuk makluman, Butler yang pernah melatih beberapa pasukan dalam saingan Liga Malaysia mula berkhidmat bersama LFA sejak Ogos 2019.
Pencapaian terbaik Butler bersama Liberia adalah membawa skuad yang berada di ranking ke-150 dunia ini mara ke pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2022 bagi peringkat benua afrika.
Featured Image: Liberia Football Association