Jaguh silat negara, Mohd. Al Jufferi Jamari melengkapkan koleksi kejuaraannya buat kali keempat apabila berjaya menumpaskan lawannya dari Indonesia, Iqbal Chandra Pratama pada perlawanan akhir Kejuaraan Pencak Silat Dunia Ke-19, semalam.
Beraksi dalam kelas F (70-75kg), pesilat dari Pahang yang berusia 30 tahun ini memastikan kejuaraan menjadi miliknya setelah berhasil mengutip mata kemenangan 35-21 dalam pertarungan yang berlangsung di Pusat Perdagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh.
Kemenangan yang diraih oleh Al Jufferi ini melengkapkan sasaran Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA) untuk merangkul tujuh pingat emas daripada kejuaraan dunia pada kali ini.
Tiga emas dimenangi menerusi acara Seni manakala baki tiga kilauan emas lagi diperoleh melalui Muhammad Robial Sobri, Nor Izzatul Fazlia Mohamad Tahir dan Nor Farah Mazlan.
Robial menyumbang emas setelah pesilat dari Singapura, Muhammad Nurshahfareeq Shahrudin dikenakan penalti lima mata dan kemudian dibatalkan penyertaan setelah dinilai semula oleh wasit kerana menumbuk dagu lawannya ketika mendahului 23-16. Insiden ini menyebabkan pesilat dari Kedah itu tidak sedarkan diri di pentas dan akhirnya dibawa ke hospital.
Sementara itu, Nor Farah pula memastikan kemenangan menjadi miliknya apabila berhasil mengatasi pencabar dari Singapura, Nadhrah Sahrin dalam kelas A (45-50kg). Dalam pertarungan tersebut, Nor Farah mengutip mata 25-23 sekaligus memperoleh gelaran juara dunia pertamanya.
Akhir sekali, Izzatul Fazlia menyumbang satu lagi pingat emas buat kontinjen negara dengan meraih kemenangan 20-0 ke atas pesilat Vietnam, Lo Thi Tuoi ekoran mengalami kecederaan dan tidak dapat meneruskan pertarungan dalam kelas Terbuka 2 (100kg ke atas).
Selain tujuh pingat emas, kontinjen negara turut mengutip lima pingat perak.
Featured Image: One Silat