Kelayakan Piala Dunia 2026: AFC Luluskan Format Baharu, 8 Negara Dapat Slot Automatik
August 1, 2022 Hafizuddin Omar

Kejohanan bola sepak terulung, Piala Dunia 2026 yang akan dilangsungkan di Amerika Syarikat, Mexico dan Kanada akan ditandingi oleh 48 pasukan negara berbanding 32 negara sebelum ini.

Selaras dengan perkembangan tersebut, slot untuk ke pusingan akhir Piala Dunia daripada setiap konfederasi turut mengalami peningkatan hampir satu kali ganda.

Sebagai contoh, bagi benua asia yang berada di bawah naungan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) akan mendapat 8 slot automatik dan 1 slot ‘play-off’. Sebelum ini, benua asia hanya mendapat 4 slot automatik serta 1 slot ‘play-off’.

AFC menerusi satu pengumuman rasmi pada hari ini memaklumkan Ahli Jawatankuasa Eksekutif AFC telah meluluskan format kelayakan bagi benua asia ke Piala Dunia 2026. Format baharu yang turut disekalikan dengan kelayakan Piala Asia 2027 merangkumi empat pusingan adalah seperti berikut:

Pusingan Pertama Kelayakan Piala Dunia/Piala Asia: 

  • Melibatkan 22 negara yang berada di ranking ke-26 hingga ke-47 asia. 
  • 22 negara ini akan diundi dalam satu perlawanan timbal balik di laman sendiri (home) dan laman lawan (away). 
  • 11 pemenang akan mara ke pusingan seterusnya.
  • 11 negara yang kalah akan tersingkir dan terpaksa mengucapkan selamat tinggal bagi saingan Piala Dunia.

Pusingan Kedua Kelayakan Piala Dunia/Piala Asia:

  • 36 negara terbaik asia termasuk 11 pemenang daripada Pusingan Pertama akan diundi ke dalam 9 buah kumpulan dimana setiap kumpulan terdiri daripada 4 buah negara.
  • Setiap negara akan menentang kesemua negara di dalam kumpulannya dengan format ‘double round robin’ di laman sendiri dan lawan.
  • Juara dan naib juara setiap kumpulan – sebanyak 18 negara – akan mara ke Pusingan Ketiga Kelayakan Piala Dunia.
  • 18 negara ini secara langsungnya telah layak secara automatik ke saingan Piala Asia.
  • Baki 18 pasukan yang berada di tangga ketiga dan keempat tidak lagi berpeluang ke Piala Dunia namun masih mempunyai harapan ke saingan Piala Asia.

Pusingan Ketiga Kelayakan Dunia:

  • 18 negara ini akan dibahagikan kepada 3 buah kumpulan dimana setiap kumpulan terdiri daripada 6 buah negara.
  • Setiap negara akan menentang kesemua pasukan di dalam kumpulannya dengan format ‘double round robin’ di laman sendiri dan lawan.
  • Juara dan naib juara setiap kumpulan – sebanyak 6 negara – akan layak ke pusingan akhir Piala Dunia secara automatik.
  • Negara yang menduduki tangga ketiga dan keempat setiap kumpulan akan ke pusingan berikutnya.

Pusingan Play-off Kelayakan Piala Dunia:

  • Enam negara seperti disebutkan di atas akan diundi ke dalam dua kumpulan dimana setiap kumpulan akan dihuni 3 buah negara.
  • Setiap negara akan menentang dua lagi negara lain di dalam kumpulannya dengan format ‘round robin’.
  • Juara bagi setiap kumpulan akan melayakkan diri ke pusingan akhir Piala Dunia.
  • Naib juara dari setiap kumpulan akan berentap sesama sendiri.
  • Pemenang akan mewakili benua asia untuk beraksi dalam perlawanan ‘play-off’ antara benua (Intercontinental Play-off).

Secara kasarnya, perbandingan antara format baharu dan format sedia ada adalah seperti berikut:

  • Pusingan Pertama memberikan peluang kepada 22 negara untuk mengambil bahagian berbanding 12 negara sahaja.
  • Pusingan Kedua melibatkan 36 negara sahaja berbanding 40 negara. Namun, bilangan kumpulan meningkat kepada 9 (setiap kumpulan terdiri 4 negara) berbanding 8 kumpulan (setiap kumpulan dihuni 5 negara).
  • Pusingan Ketiga menyaksikan 18 negara mara berbanding 12 buah negara sahaja.
  • Pusingan Play-off dapat disertai oleh 6 negara yang menduduki tangga ketiga dan keempat di Pusingan Ketiga. Format sedia ada hanya membolehkan 2 negara sahaja yang menduduki tangga ketiga daripada Pusingan Ketiga.
Komen