Artikel

Sukan Komanwel: Malaysia Singkir Tuan Rumah, Mara Ke Final Badminton Berpasukan Campuran

Skuad Malaysia berjaya melayakkan diri ke perlawanan akhir badminton berpasukan bercampuran dalam temasya Sukan Komanwel Birmingham 2022.

Kejayaan itu dicapai dengan menumpaskan skuad tuan rumah, England dengan keputusan 3-0 di peringkat separuh akhir yang berlangsung sebentar tadi.

Dalam pertarungan tersebut, kemenangan pertama berhasil diraih oleh gandingan campuran Chan Peng Soon dan Cheah Yee See. 

Mereka berhasil menumpaskan pasangan yang menghuni ranking ke-11 dunia, Marcus Ellis dan Lauren Smith menerusi tiga set permainan yang berkesudahan 12-21, 21-18 dan 21-13.

Selepas itu, perseorangan lelaki, Ng Tze Yong yang turun pada perlawanan kedua mengekalkan rentak kemenangan Malaysia dengan menumpaskan Toby Penty secara “straight set”. 

Pemain berusia 29 tahun yang berada di ranking ke-55 dunia ini tumpas di tangan Tze Yong dengan skor 21-13 dan 21-14.

Perlawanan terakhir pula melibatkan pertarungan antara beregu lelaki. Malaysia yang mempertaruhkan gandingan no.1 negara, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik tidak mempunyai masalah besar untuk mengesahkan kemaraan buat skuad negara.

Lawannya, penghuni ranking ke-19 dunia, Ben Lane dan Sean Vendy tumpas secara “straight set” dengan skor 21-17 dan 21-18.

Dalam perlawanan akhir kelak, Malaysia akan bertemu samada India atau negara seberang tambak, Singapura bagi merebut kilauan emas atau perak dalam acara badminton berpasukan.

Featured Image: Badminton Association of Malaysia

komen