Kejohanan Olahraga Dunia B-20: Azeem Catat Larian 10.09s Acara 100m – Rekod Baharu Kebangsaan
August 2, 2022 Hafizuddin Omar

Pelari muda negara, Muhammad Azeem Mohd Fahmi meletakkan dirinya selaku individu terpantas dalam acara pecut 100 meter (m) bagi peringkat kebangsaan.

Ianya selepas pelari berusia 18 tahun ini merekodkan catatan masa sepantas 10.09 saat (s) semasa mengambil bahagian di peringkat saringan (Heat 8) pada Kejohanan Olahraga Dunia Bawah 20 Tahun (B-20) 2022 yang berlangsung di Cali, Colombia, awal pagi tadi.

Catatan masa itu juga merupakan yang kedua terpantas daripada 63 peserta dari seluruh dunia bagi peringkat saringan. Pelumba terpantas ialah Letsile Tebogo dari Botswana yang merekodkan larian sepantas 10.00s.

Selain itu, Azeem juga mengatasi pemenang pingat emas Sukan SEA 2021 dari Thailand, Puripol Boonson yang menamatkan larian peringkat saringan dengan catatan masa 10.20s.

Larian anak kelahiran negeri Perak di peringkat saringan ini membolehkannya mara ke peringkat separuh akhir bagi acara 100m dalam kejohanan ini. Peringkat ini dijadualkan berlangsung pada awal pagi esok waktu Malaysia.

Di peringkat separuh akhir, Azeem diletakkan dalam Heat 3 bersama-sama pelari dari Kanada, Grenada, Jamaica, Itali, Afrika Selatan, Jepun dan Argentina. 

Sebagai tambahan, sebelum ini, rekod larian terpantas bagi acara 100m peringkat kebangsaan dipegang oleh Khairul Hafiz Jantan dengan catatan masa 10.18s semasa beraksi di Sukan Malaysia (Sukma) 2016. 

Komen