Kejohanan Olahraga Dunia B-20: Jonah Chang Mara Ke Final, Rekodkan Lontaran Kelima Terbaik
August 2, 2022 Hafizuddin Omar

Kejohanan OIahraga Dunia Bawah 20 Tahun (B-20) 2022 yang berlangsung di Cali, Colombia turut menyaksikan atlet lontar peluru muda negara, Jonah Chang Anak Rigan berhasil mengesahkan tempat ke peringkat akhir.

Atlet berusia 19 tahun kelahiran Sarawak mengesahkan kemaraan tersebut selepas merekodkan lontaran terbaiknya sejauh 18.97 meter (m) dalam acara lontar peluru (6kg) lelaki peringkat kelayakan Kumpulan B, awal pagi tadi.

Lontaran tersebut meletakkannya dalam kelompok 12 atlet terbaik yang melayakkan diri ke peringkat akhir. Lontaran dihasilkan Jonah itu juga merupakan yang kelima terbaik daripada 26 atlet yang mengambil bahagian.

Untuk makluman semua, empat atlet yang merekodkan lontaran lebih baik daripadanya ialah Tizian Noah Lauria, Jerman (20.15m), Kobe Lawrence, Jamaica (19.85m), Tarik O’Hagan, Amerika Syarikat (19.65m) dan Matyas Kerekgyarto, Belanda (19.35).

Sebagai perbandingan, rekod peribadi terbaik yang pernah dicatatkan oleh Jonah dalam acara lontar peluru (6kg) adalah sejauh 19.41m. Rekod ini dicatatkannya ketika beraksi dalam satu kejohanan di Jahnstadion Osterode di Jerman pada 3 Jun lalu.

Sebagai tambahan, peringkat akhir bagi acara lontar peluru (6kg) Kejohanan Olaharaga Dunia B-20 ini dijadualkan berlangsung pada pagi Rabu, waktu Malaysia.

Featured Image: Instagram Jonah Chang

Komen