Ranking BWF: Kisona Kembali Sebagai Pemain No.2 Negara, Jin Wei Jatuh 7 Anak Tangga
August 2, 2022 Hafizuddin Omar

Pemain badminton di bawah naungan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Kisona Selvaduray kembali menjadi perseorangan wanita No.2 negara.

Status itu kembali menjadi milik pemain berusia 23 tahun ini selepas Persekutuan Badminton Antrabangsa (BWF) mengeluarkan kemaskini ranking dunia terbaru, hari ini.

Berdasarkan kemaskini tersebut, Kisona merekodkan peningkatan dua anak tangga sekaligus menghuni ranking ke-54 dunia untuk minggu ke-31.

Sementara itu, pemain bebas (independent) negara, Goh Jin Wei yang memegang status perseorangan wanita No.2 negara pada minggu lalu dilihat jatuh sebanyak tujuh anak tangga.

Kejatuhan tersebut menyebabkan dia menduduki ranking ke-60 dunia dan kembali menjadi perseorangan wanita No.3 negara.

Perseorangan wanita No.1 negara masih kekal menjadi milik Soniia Cheah. Minggu ini, pemain berusia 29 tahun ini merekodkan peningkatan 3 anak tangga dan berada di ranking ke-39 dunia.

Untuk makluman, kenaikan dan kejatuhan yang berlaku terhadap Kisona dan Jin Wei ini terjadi berikutan BWF mula beralih kepada ranking dunia bersandarkan kepada pungutan mata tertinggi daripada 52 minggu terkini sahaja.

Dengan peralihan ini, bermula 2 Ogos (hari ini), BWF akan mengemaskini ranking dunia pada setiap minggu dengan menolak pungutan mata lampau bermula pada minggu ke-12 tahun 2019.

Ranking dunia lengkap bersandarkan kepada pungutan mata tertinggi daripada 52 minggu terkini akan disiarkan pada 3 Januari 2023.

Featured Image: Badminton Association of Malaysia

Komen