Jaringan Luar Kotak Sean Raih Perhatian FIFA – Boleh Cabar Anugerah Puskas?
August 2, 2022 Hafizuddin Omar

Pemain Negeri Sembilan FC, Sean Selvaraj mencipta sensasi dalam kalangan peminat bola sepak apabila jaringan yang dihasilkannya dari luar kotak menginspirasikan kemenangan ke atas Selangor FC, Ahad lalu.

Ianya turut mendapat perhatian media antarabangsa, Bleacher Report Football (BR Football) yang berkongsikan klip video jaringan tersebut di laman sosialnya, pada malam yang sama.

Terbaru, jaringan oleh bekas pemain Selangor ini turut meraih perhatian badan induk bola sepak dunia, Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), pada hari ini.

FIFA menerusi akaun media sosial Twitter-nya, @FIFAcom berkongsikan klip video yang sama dalam satu siri bebenang (thread) bersama-sama dua jaringan lain dari luar kotak yang tidak kurang hebatnya.

Bebenang itu turut bertanyakan kepada para peminat samada jaringan-jaringan ini mampu memberikan cabaran untuk memenangi anugerah jaringan tercantik, Anugerah Puskas.

Dua jaringan yang lain dihasilkan oleh Francisco Gonzalez daripada Club Atletico Central Cordoba yang beraksi dalam kancah bola sepak Argentina. 

Sementara itu, satu lagi jaringan lain dihasilkan oleh Nanthan Lowe bersama Kidderminster Harriers FC dalam saingan liga bawahan England.

Sebagai rekod, Malaysia pernah mempunyai seorang pemainnya, Faiz Subri memenangi anugerah ini pada tahun 2016. Anugerah ini dimenangi Faiz setelah melakukan jaringan yang dikatakan menentang hukum fizik menewaskan penjaga gol Pahang dalam saingan Liga Super 2016.

Featured Image: Negeri Sembilan FC

Komen