Sukan Komanwel: Pearly-Thinaah Kecewakan India, Pasukan Malaysia Rampas Emas Acara Badminton Berpasukan Campuran
August 3, 2022 Hafizuddin Omar

Kilauan pingat emas bagi acara badminton berpasukan campuran di temasya Sukan Komanwel Birmingham 2022 menjadi milik mutlak pasukan Malaysia manakala India merangkul pingat perak.

Beregu wanita No.1 negara, Pearly Tan dan Thinaah Muralitharan memastikan Malaysia membawa pulang pingat itu dengan merekodkan kemenangan ke atas beregu India pada pertarungan keempat dalam perlawanan akhir acara terbabit, sebentar tadi.

Dalam pertarungan tersebut, gandingan Pearly-Thinaah yang berada di ranking kesebelas dunia menumpaskan Treesa Jolly dan Gayatri Gopichand Pullela secara “straight set” dengan skor 21-18 dan 21-17.

Keputusan ini menjadikan pasukan Malaysia meraih kemenangan 3-1 ke atas India sekaligus sudah memadai untuk bergelar juara.

Sebelum itu, Malaysia berhasil mendahului 2-1 ke atas India hasil kemenangan yang disumbangkan oleh gandingan Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan perseorangan lelaki, Ng Tze Yong pada pertarungan pertama dan ketiga.

Untuk makluman semua, kejayaan pasukan Malaysia muncul juara acara ini menjadikan kontinjen negara mengumpul tiga pingat emas secara keseluruhan dalam temasya ini.

Dua pingat emas sebelum ini disumbangkan menerusi acara angkat berat lelaki kategori 55kg dan 61kg oleh Mohamad Aniq Kasdan dan Muhamad Aznil Bidin masing-masing.  

Sebagai tambahan, kejayaan merangkul pingat emas ini pada temasya kali ini juga membolehkan Malaysia melunaskan dendam terhadap kekalahan di Sukan Komanwel Gold Coast 2018.

Di temasya tersebut, Malaysia tumpas dengan keputusan 3-1 di tangan India sekaligus sekadar berpuas hati membawa pulang pingat perak.

Featured Image: Badminton Association of Thailand

Komen