Artikel

KBS Pertimbang Naik Taraf Trek Balapan Bekas Sekolah Azeem – SMK Gunung Rapat

Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sedang mempertimbangkan untuk menaik taraf trek balapan bekas sekolah Muhammad Azeem Mohd Fahmi, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Gunung Rapat, Ipoh.

Ianya susulan kejayaan Muhammad Azeem yang beraksi dengan cemerlang dan menamatkan acara pecut 100 meter (m) di tempat kelima dalam Kejohanan Olahraga Dunia Bawah 20 Tahun (B-20), awal pagi tadi.

Perkara tersebut dimaklumkan oleh Menteri Belia dan Sukan, Dato’ Seri Ahmad Faizal Azumu menerusi satu kenyataan media, pada hari ini.

Difahamkan, pertimbangan itu dibuat bagi melahirkan lebih ramai atlet berbakat dan berpotensi besar dalam sukan olahraga. Untuk makluman, SMK Gunung Rapat merupakan sekolah kluster sukan yang telah melahirkan banyak atlet termasuk Muhammad Azeem.

Ianya turut menjadi lokasi latihan atlet berusia 18 tahun kelahiran negeri Perak Darul Redzuan ini.

Pada masa yang sama, Azumu turut mengucapkan syabas dan tahniah buat Muhammad Azeem atas pencapaiannya di kejohanan terbabit.

Ini termasuk dengan kejayaan melakar satu rekod kebangsaan baharu dalam acara pecut 100m apabila merekodkan larian sepantas 10.09 saat (s) ketika beraksi dalam peringkat saringan.

Menurut Faizal, bakat serta kebolehan Muhammad Azeem perlu terus digilap agar lebih banyak kejayaan dapat dicipta pada masa akan datang. 

Katanya lagi, KBS akan terus berusaha dan menyokong sebarang usaha meningkatkan pencapaian atlet dalam semua disiplin demi kemajuan sukan negara.

komen