Artikel

Azeem Fahmi Terima Tawaran Lanjut Pelajaran Daripada 3 Buah Universiti Amerika Syarikat

Pelari muda kebangsaan, Muhammad Azeem Mohd Fahmi akan melanjutkan pelajarannya di luar negara dan negara yang menjadi pilihannya ialah Amerika Syarikat.

Menurut laporan Harian Metro, jurulatihnya, Muhammad Amir Izwan Tan Abdullah mendedahkan Azeem telah menerima tawaran untuk melanjutkan pelajarannya daripada tiga buah universiti Amerika Syarikat yang berpangkalan di Minesota, Oregon dan Houston.

Difahamkan Azeem yang meraih keputusan 6A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) telah membuat keputusan untuk menyambung pelajarannya di sana namun belum memuktamadkan sebarang universiti.

“Azeem akan menyambung pelajaran di luar negara dan berlatih. Maksud saya belajar sambil berlatih. Jika semuanya berjalan lancar, insya-Allah dia akan berangkat pada Januari nanti.

“Sekembalinya ke tanah air selepas ini, Azeem akan menyambung latihan untuk persediaan ke Sukma yang akan diadakan pada September,” katanya dipetik daripada portal akhbar terbabit.

Azeem yang merupakan kelahiran Perak semakin menjadi sebutan apabila dia berhasil memecahkan rekod kebangsaan dalam acara pecut 100 meter (m) ketika beraksi di Kejohanan Olahraga Dunia Bawah 20 Tahun (B-20) di Cali, Colombia.

Dia memecahkan rekod berkenaan apabila mencatatkan masa larian sepantas 10.09 saat (s) ketika mengambil bahagian dalam peringkat saringan mengatasi rekod lama – 10.18s – yang dilakukan Khairul Hafiz Jantan ketika Sukan Malaysia (Sukma) 2016.

Dalam acara pecut 200m di kejohanan yang sama pula, Azeem berhasil menghasilkan rekod kebangsaan B-20 baharu dengan menamatkan larian dalam tempoh 20.83s ketika peringkat saringan.

Catatan masa itu juga merupakan yang kedua terpantas dalam sejarah kebangsaan di belakang seorang lagi pelari negara, Alexander Russel Nasir Taib yang merekodkan larian 20.77s.

Featured Image: Instagram Azeem Fahmi

komen