Artikel

Perlawanan Super Cup & UCL 2022-23 Akan Guna Teknologi Ofsaid Separa Automatik – SAOT

Kesatuan Persatuan Bola Sepak Eropah (UEFA) mengumumkan akan menggunakan Teknologi Ofsaid Separa Automatik (SAOT) buat julung kalinya dalam perlawanan Super Cup 2022 yang berlangsung di Helsinki, Finland pada awal Khamis hadapan.

UEFA turut memaklumkan perlawanan yang menemukan kedua-dua pemenang Liga Juara-Juara UEFA (UCL) dan Liga Europa musim lalu, Real Madrid dan Eintracht Frankfurt itu akan diadili oleh pengadil England, Michael Oliver sambil dibantu rakan senegaranya, Stuart Burt dan Simon Bennet.

Menjelaskan mengenai SAOT, ianya merupakan sistem baharu dioperasikan menggunakan sebilangan kamera khas yang dipasang di stadium untuk menjejak 29 titik badan berbeza bagi setiap pemain.

Kamera ini akan mula menjejak titik-titik anggota tubuh badan pemain yang menerima hantaran apabila rakan sepasukan melakukan “key pass” – hantaran yang membuka peluang kepada jaringan gol dilakukan.

Pada masa yang sama, satu alat pengesan (sensor) turut diletakkan di dalam dan di tengah-tengah bola untuk menghantar data-data kepada bilik operasi video.

Baca: FIFA Akan Menggunakan Kecerdasan Buatan Untuk Mengesan Ofsaid Di Piala Dunia Qatar

Dengan menggunakan data daripada penjejakan titik badan pemain serta alat pengesan bola dan penggunaan kecerdasan buatan (artificial intelligence), teknologi ini akan memberikan amaran apabila berlakunya situasi ofsaid kepada para pegawai yang bertugas di dalam bilik operasi video.

Selepas ofsaid itu disahkan oleh pegawai operasi video dan pengadil di padang, data-data yang yang diperolehi akan menghasilkan satu animasi 3-dimensi (3D) untuk menunjukkan situasi ofsaid berkenaan.

Animasi 3-D itu akan turut dipaparkan di skrin gergasi di dalam stadium serta rakan penyiar yang menyiarkan perlawanan terbabit secara langsung.

Selain daripada saingan Super Cup, UEFA turut mengumumkan teknologi akan digunakan bermula peringkat kumpulan UCL musim ini.

Untuk makluman semua, penggunaan SAOT ini telah diluluskan oleh Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) pada 1 Julai lalu. Ianya akan turut digunakan dalam saingan Piala Dunia Qatar 2022 kelak.

Featured Image: FIFA

komen