Pemain badminton para negara, Cheah Liek Hou tidak berhadapan masalah untuk mengulangi kejayaannya merangkul pingat emas dalam acara perseorangan lelaki kategori SU5 (kecacatan fizikal) di temasya Sukan Para ASEAN (APG).
Kejayaan itu diulang dalam edisi kali ini yang berlangsung di Solo, Indonesia dengan menumpaskan rakan senegara, Faris Ahmad Azri secara “straight set” dengan keputusan 21-18 dan 21-14 dalam perlawanan akhir, hari ini.
Sebelum itu, Liek Hou mengesahkan kemaraan ke perlawanan akhir dengan mengalahkan wakil tuan rumah, Dheva Anrimusthi juga secara “straight set” dengan skor 21-19 dan 21-12, semalam.
Sebagai rekod, kali terakhir Liek Hou merangkul pingat emas di temasya ini adalah semasa edisi yang berlangsung di Kuala Lumpur pada tahun 2017. Untuk makluman, edisi pada tahun 2020 yang sepatutnya berlangsung di Filipina dibatalkan.
Sementara itu, dalam acara beregu lelaki SU5, Liek Hou yang bergandingan bersama Muhammad Fareez Anuar terpaksa akur tidak dapat meneruskan kemaraan ke perlawanan akhir apabila tumpas kepada beregu Indonesia, Oddie Kurnia Dwi Listyanto Putra-Suryo Nugroho dengan skor 19-21, 21-15 dan 19-21.
Mereka akan beraksi dalam perlawanan perebutan pingat gangsa menentang beregu senegara, Mohamad Faris-Mohd Amin Burhanuddin pada hari ini.
Featured Image: Paralympic Council of Malaysia