Dua pemain Manchester United (Man Utd), Harry Maguire dan Cristiano Ronaldo menjadi pemain Liga Perdana Inggeris (EPL) yang banyak menerima makian di platform media sosial, Twitter.
Perkara tersebut didedahkan oleh satu kajian yang dijalankan oleh badan kawal selia British, Ofcom bersama-sama Institut Alan Turing – sebuah institut kebangsaan United Kingdom (UK) untuk data sains dan kecerdasan buatan (artificial intelligence).
Kajian itu dilakukan dengan menganalisis 2.3 juta ciapan di Twitter menggunakan pembelajaran mesin (machine learning) yang terarah kepada pemain-pemain EPL untuk tempoh lima bulan awal pada musim 2021-22.
Antara dapatan kajian terbabit menunjukkan sebilangan kecil pemain-pemain menerima majoriti makian. Sebagai contoh, separuh makian dilihat terarah kepada 12 pemain.
Sementara itu, lapan daripada 12 pemain tersebut merupakan pemain Man Utd seperti Marcus Rashford, Bruno Fernandes, Fred dan beberapa yang lain lagi. Manakala Ronaldo dan Maguire pula direkodkan menerima ciapan kecaman paling banyak.
We teamed up with @turinginst to explore the scale of Twitter abuse faced by Premier League footballers.
Using machine learning, we analysed 2.3M tweets from last season.
Here’s what we found, and what we think must be done. ⬇️ #CrossingTheLine https://t.co/M6Z9rSr0vR
— Ofcom (@Ofcom) August 2, 2022
Menjelaskan lebih lanjut, ciapan makian paling tinggi untuk Ronaldo dikenalpasti terjadi pada hari pertamanya menyertai semula skuad Red Devils pada 27 Ogos 2021.
Bagi kes melibatkan pertahanan England pula, makian tertinggi dikenalpasti pada 7 November apabila Maguire membuat permohonan maaf ekoran kekalahan terhadap kelab seteru setempat, Manchester City di laman sendiri, Old Trafford.
Bagaimanapun, menurut kajian tersebut, sebahagian besar pengguna Twitter menggunakan platform itu secara bertanggungjawab.
Ini disokong dengan 3,000 sampel ciapan yang diambil secara rawak dan dianalisis secara kualitatif, 55% daripadanya adalah positif terhadap pemain, 27% adalah nuetral, 12.5% adalah kritikal dan 3.5% adalah makian.
Sebagai perbandingan, daripada 2.3 juta ciapan yang dianalisis menggunakan pembelajaran mesin, 2.6% daripadanya mengandungi makian bersamaan 59,871 ciapan.
Sungguhpun peratusan ini masih kecil namun jumlah secara keseluruhan menghampiri 60,000 ciapan itu tetap angka yang tinggi – boleh memberikan risiko serius kepada para pemain.
Difahamkan, platform Twitter menjadi pilihan kerana untuk melakukan kajian ini kerana ianya popular dalam kalangan pemain, datanya tersedia untuk kajian. Selain itu, Twitter menjadi lebih relevan untuk kajian ini setelah beberapa pemain pernah melaporkan menerima makian di platform ini, sebelum ini.
Anda boleh baca kertas kajian penuh DI SINI.
Featured Image: Manchester United