Kejuaraan B-16 AFF: Malaysia Kekal Rekod Tanpa Kalah, Australia Tumpas Buat Kali Kedua
August 6, 2022 Hafizuddin Omar

Malaysia masih dapat mengekalkan rekod tanpa kalah selepas mengharungi dua perlawanan peringkat Kumpulan C dalam saingan Kejuaraan Bawah 16 Tahun (B-16) AFF.

Skuad remaja negara bimbingan Osmera Omaro ini mengekalkan rekod tersebut selepas berhasil mengikat Myanmar dengan keputusan 1-1, semalam.

Dalam perlawanan terbabit, Malaysia terlebih dahulu membuka jaringan menerusi Dainei Mat Disa seawal minit ke-2 permainan. Namun begitu, Myanmar dapat menghasilkan jaringan penyamaan pada minit ke-50 menerusi Kaung Khant Zaw.

Kedudukan 1-1 itu berlarutan sehinggan pengadil bertugas meniup wisel menamatkan permainan yang berlangsung di Stadium Maguwoharjo Sleman.

Keputusan ini juga membolehkan Malaysia kekal mendahului saingan Kumpulan C. Walaupun berkongsi 4 mata bersama-sama Myanmar, skuad negara mempunyai kelebihan daripada segi rekod perbezaan gol.

Sementara itu, satu lagi perlawanan kedua peringkat Kumpulan C yang turut berlangsung semalam, Kemboja berjaya menumpaskan Australia dengan keputusan 4-2.

Untuk makluman, keputusan ini menjadikan skuad berjulukan The Joeys itu mengalami kekalahan kedua berturut-turut di dalam kejohanan ini. 

Perlawanan pertama lalu menyaksikan mereka turut merekodkan kekalahan di tangan Myanmar dengan keputusan 2-3.

Sebagai tambahan, Australia menjadi lawan terakhir buat Malaysia dalam saingan peringkat Kumpulan C. Pertembungan menentang Australia dijadualkan berlangsung pada 8 Ogos (Isnin) nanti, sepak mula jam 4 petang waktu Malaysia.

Featured Image: FAM

Komen