Piala FA: Terengganu Tamatkan Kemarau 11 Tahun Ke Final Selepas Tumpaskan Selangor Di Gong Badak
August 6, 2022 Hafizuddin Omar

Terengganu FC berjaya menamatkan kemarau panjangnya selama 11 tahun tidak menjejakkan kaki ke perlawanan akhir kejohanan kalah mati, Piala FA.

Ianya dicapai setelah menumpaskan Selangor FC pada perlawanan separuh akhir sambil disaksikan puluhan ribu penyokong di laman sendiri, Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, hari ini.

Dalam perlawanan tersebut, skuad kendalian Nafuzi berhasil merekodkan kemenangan menerusi penentuan sepakan penalti yang berakhir dengan skor 4-2.

Sebelum itu, Terengganu dan Selangor terikat 1-1 sepanjang 120 minit permainan hasil jaringan Nor Hakim Hassan pada minit ke-24 dan Faisal Halim pada minit ke-48 permainan.

Kemaraan ini menjadikan Terengganu akan membuat perhitungan dengan Johor Darul Ta’zim (JDT) untuk merebut trofi Piala FA bagi musim ini.

JDT yang mendapat sentuhan ketua jurulatih baharu kelahiran Argentina, Hector Bidoglio menempatkan diri mereka ke perlawanan akhir apabila membantai Penang FC dengan skor 6-1 di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, semalam.

Untuk makluman, pentas akhir 11 yang tahun yang lalu juga menjadi saat terakhir skuad berpangkalan di pantai timur ini menjulang trofi dalam sejarahnya dengan menumpaskan musuh tradisi, Kelantan di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Featured Image: Selangor FC

Komen