World Athletics: Persembahan Boonson, Azeem & Yanagita Tanda Asia Mula Meningkat Dalam Acara Pecut
August 8, 2022 Hafizuddin Omar

Acara larian pecut berjarak pendek seperti 100 dan 200 meter (m) seringkali didominasi atlet dari rantau amerika tengah dan amerika utara. Manakala acara larian berjarak jauh pula didominasi pelari afrika.

Bagaimanapun, perkara tersebut mengalami perubahan dalam Kejohanan Olahraga Dunia Bawah 20 Tahun (B-20) yang berlangsung di Cali, Colombia, baru-baru ini.

Ini dapat dilihat dalam peringkat akhir acara pecut 100m lelaki, dua daripada tiga pingat iaitu emas dan gangsa dimenenagi pelari afrika iaitu Letsile Tebogo dan Benjamin Richardson dari Botswana dan Afrika Selatan masing-masing.

Namun begitu, satu perkara yang menarik perhatian badan induk olahraga dunia, World Athletics adalah tiga orang pelari asia yang menamatkan larian peringkat akhir tersebut di tempat keempat, kelima dan keenam.

Tiga orang pelari tersebut ialah Puripol Boonson, 16 tahun, (Thailand), Muhammad Azeem Mohd Fahmi, 18 tahun, (Malaysia) dan Hiroki Yanagita, 19 tahun (Jepun). Catatan masa bagi ketiga-tiga pelari ini dalam larian tersebut adalah 10.12s, 10.14s dan 10.24s masing-masing.  

Sebelum itu, Boonson yang merupakan pemenang pingat emas Sukan SEA 2021 serta Azeem sendiri berhasil memperbaharui rekod peribadi masing apabila mencatatkan larian sepantas 10.09s pada peringkat separuh akhir dan pusingan saringan masing-masing.

Sementara itu, Yanagita turut sama berhasil memperbaharui rekod peribadinya apabila merekodkan larian 10.15s ketika beraksi di peringkat separuh akhir.

Menjelaskan lebih lanjut, World Athletics di dalam artikelnya berkata, mengambil contoh kepada Boonson di kejohanan ini, dia yang masih remaja turun beraksi menentang pelari yang mempunyai fizikal yang lebih matang dan pengalaman lebih daripadanya namun tetap mendapat keputusan yang sedemikian.

Selain itu, Yanagita yang beraksi dalam acara 4x100m lelaki turut membantu kuartet negara matahari terbit merangkul emas kejohanan yang sama.

Mereka mengutip kilauan emas selepas muncul yang pertama melintasi garisan mengatasi kuartet Jamaica walaupun merekodkan tempoh larian yang sama, 39.35s. 

Berdasarkan kepada persembahan dan keputusan inilah, World Athletics berpendapat benua asia mula menunjukkan peningkatan dalam acara pecut berjarak pendek dan ketiga-tiga pelari ini pula perlu diberikan tumpuan.

Featured Image: World Athletics

Komen