Artikel

Sukan Komanwel: Pemain No.10 Dunia Rangkul Emas, Tze Yong Bawa Pulang Perak

Pemain No.10 dunia dari India, Lakshya Sen berjaya merangkul pingat emas dalam acara badminton (individu) perseorangan lelaki di Sukan Komanwel Birmingham 2022.

Sementara itu, wakil negara, Ng Tze Yong yang berada di ranking ke-42 dunia membawa pulang pingat perak.

Sebelum Lakshya dan Tze Yong berhasil mengesahkan kilauan pingat masing-masing, kedua-dua pemain yang beraksi buat pertama kali di temasya ini memberikan persembahan yang cukup bertenaga dan sengit di atas gelanggang.

Perlawanan yang berlangsung di NEC Hall itu menyaksikan Tze Yong terlebih dahulu memenangi set pertama dengan skor 21-19. Namun begitu, Lakshya berjaya bangkit di set kedua melakar kemenangan 21-9 untuk mengheret pertarungan ke set penentuan. 

Set penentuan berlangsung dengan cukup sengit. Ada ketikanya Tze Yong dilihat ketinggalan jauh berbanding Lakshya. Walaupun ada tempohnya Tze Yong berhasil mengejar dan hampir merapatkan jurang, akhirnya, dia terpaksa akur tumpas ini dengan skor 16-21.

Keputusan itu memadai buat Lakshya untuk berlari keriangan di sekitar dewan meraikan kemenangannya ke atas Tze Yong sejurus sahaja selepas tamatnya perlawanan tersebut.

Featured Image: Badminton Association of Thailand

komen