TMJ: Tahukah Anda, Berapa Gaji Arif Aiman Tahun Lepas? RM11,000 Sahaja
August 9, 2022 Hafizuddin Omar

Persembahan hebat penyerang sayap muda kelahiran Pahang, Arif Aiman Hanapi bersama kelabnya, Johor Darul Ta’zim (JDT) dan skuad kebangsaan khususnya pada tahun ini seringkali menjadi bualan dalam kalangan peminat dan penyokong bola sepak tanah air.

Dengan persembahan sebegitu, umur yang masih muda serta beraksi bersama sebuah kelab yang kaya raya dimiliki oleh Tunku Mahkota Johor (TMJ), DYAM Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, pastinya ramai yang menjangkakan Arif menerima gaji yang lumayan bernilai puluhan ribu setiap bulan.

Bagaimanapun, jangkaan itu meleset sama sekali apabila pemilik JDT mendedahkan pemain berusia 20 tahun itu hanya menerima RM11,000 sahaja setiap bulan.

“Saya juga membuat keputusan berkenaan contract pemain. Tahukah anda berapa gaji Arif Aiman tahun lepas? 11 ribu sahaja. Tetapi main bersungguh sungguh.” kongsi baginda menerusi Instagram Story peribadinya, malam tadi.

Walaupun hanya nilai gajinya hanya sebanyak itu, Arif berhasil tampil sebanyak 21 kali dalam saingan Liga Super serta merekodkan dua jaringan gol dan tiga bantuan gol kepada rakan sepasukan pada musim lalu.

Musim ini, Arif tampil lebih cemerlang dengan merekodkan sembilan serta satu bantuan gol dalam saingan Liga Super dan Liga Juara-Juara AFC (ACL). Minggu lalu, dia baru sahaja menjaringkan hatrik ketika menentang Penang FC sekaligus membantu JDT mara ke perlawanan akhir Piala FA 2022.

“Kenapa? Kerana macam mana saya jaga setiap pemain. Contoh bonus, bonus akan diberi kepada setiap pemain yang memberi 100% in training dan match.” sambung baginda lagi.

Menerusi IG Story itu juga, TMJ turut berkongsikan bagaimana baginda menguruskan skuad Harimau Selatan sehingga menjulang 32 buah trofi secara keseluruhan serta falsafah kelab yang bertunjangkan kepada dominasi, tidak berputus asa, keazaman, disiplin, inovatif dan kemajuan.

Featured Image: JOHOR Southern Tigers

Komen