Artikel

Kompleks Sukan Bukit Merbau Bakal Miliki Stadium Berkapasiti 20,000 Penonton – Peruntukan RM256 Juta

Pembinaan Kompleks Sukan Bukit Merbau yang bakal menjadi salah satu venue Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 di Kelantan akan bermula awal tahun 2023.

Perkara tersebut dimaklumkan oleh Menteri di Jabatan Perdana (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed menerusi laman sosialnya selepas mengadakan lawatan ke tapak pembinaan yang terletak di Pasir Puteh, semalam.

Berdasarkan perkongsiannya, kompleks sukan ini akan memiliki enam komponen kemudahan yang utama seperti berikut:

  1. Stadium Utama berkapasiti 20,000 penonton – mengandungi padang bola sepak dan trek olahraga
  2. Arena Tertutup berkapasiti 1,000 penonton – memuatkan gelanggang pelbagai guna
  3. Stadium Hoki berkapasiti 500 penonton – berserta astaka dan dua buah padang
  4. Pusat Skuasy kapasiti 100 penonton – lapan gelanggang skuasy dan satu gelanggang mudah alih
  5. Gelanggang Boling Padang kapasiti 200 penonton – berbumbung berserta dua buah gelanggang
  6. Lapang Sasar Menembak kapasiti 100 penonton – dengan kemudahan Indoor Shooting – 30 meter (30 lorong) dan Outdoor Shooting – 25 meter & 50 meter (15 lorong).

Selain itu, Mustapa memberitahu bahawa ianya turut mempunyai kemudahan seperti ruang pejabat, bilik persalinan, bilik rawatan, bilik media, bilik doping, surau dan gimnasium.

Menurutnya, kompleks tersebut akan dibina di atas tanah berkeluasan 160 ekar. Ketika ini, ianya berada di peringkat pra-perlaksanaan dan tender bagi kompleks sukan ini akan dilaksanakan secara berperingkat mengikut komponen-komponen.

Ianya akan dimulakan dengan tender bagi pembinaan stadium yang akan dikeluarkan pada Ogos 2022. Untuk makluman semua, kompleks ini dijangka siap sepenuhnya pada penghujung tahun 2025.

Pelaksanaan pembinaan kesemua projek infrastruktur ini akan dipantau dengan rapat oleh Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU, JPM) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) bagi memastikan pembinaannya mengikut jadual yang ditetapkan.

Tambahnya lagi, kerajaan persekutuan telah meluluskan peruntukan perbelanjaan pembangunan bagi Kompleks Sukan Bukit Merbau – salah satu venue SUKMA 2026 – sebanyak RM256 juta di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12).

Ianya merupakan satu komitmen di antara kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri dalam membangunkan kemudahan yang mengutamakan aspek gaya hidup sihat, sosial dan sukan di negeri Kelantan.

Featured Image: Facebook Wan Roslan Wan Hamat

komen