Artikel

Selangor Lantik Nidzam Jamil Sebagai Ketua Jurulatih Interim, Michael Kekal Selaku Pengarah Sukan

Pasukan berpangkalan di Lembah Klang, Selangor FC mengumumkan bekas pemainnya merangkap penolong jurulatih, Nidzam Jamil diangkat sebagai ketua jurulatih sementera (interim) bagi mengharungi baki saingan Liga Malaysia 2022.

Pengumuman itu dibuat susulan skuad Red Giants memaklumkan mencapai persetujuan bersama Michael Feichtenbeiner untuk melepaskan jawatan sebagai ketua jurulatih bagi skuad utama mereka.

Setakat ini, Selangor yang dibimbing oleh Michael menduduki tangga ketujuh Liga Super selepas mengharungi 13 perlawanan hasil mengutip 16 mata. Sementara itu, dalam saingan Piala FA, Michael berhasil mengemudi Selangor ke peringkat separuh akhir sebelum ditumpas oleh Terengganu FC.

Bagaimanapun, Michael yang telah mengemudi skuad utama sekitar setengah musim ini akan kekal bersama Selangor sebagai Pengarah Sukan yang disandangnya sejak tahun 2020 bagi memberikan tumpuan penuh kepada projek pembangunan.

Sebagai rekod, projek pembangunan tersebut telah melahirkan beberapa pemain yang mampu beraksi bersama skuad utama Selangor serta skuad kebangsaan, Harimau Malaya.

Antaranya Mukhairi Ajmal, Sharul Nazeem, Hei Htet Aung, Alex Agyarkwa, Quentin Cheng dan beberapa yang lain lagi. Selain itu, seramai 10 pemain muda Selangor turut dipilih untuk mewakili skuad Malaysia bawah 19 tahun (B-19).

Dalam makluman yang sama, pencarian ketua jurulatih baharu sedang dijalankan dan pihak kelab akan membuat pengumuman lanjut sebaik sahaja segala penelitian telah dibuat.

Featured Image: Malaysian Football League & Selangor FC

komen