Hasil undian bagi saingan Terbuka Jepun 2022 tidak begitu memihak buat beberapa wakil negara untuk mara lebih jauh dalam saingan bertaraf Jelajah Dunia Super 750 BWF ini.
Berdasarkan keputusan undian yang dikeluarkan sebentar tadi, seramai empat beregu campuran negara akan bertembung sesama sendiri seawal pusingan 32.
Salah satu daripadanya adalah melibatkan pemenang pingat emas Sukan SEA 2021, Chen Tang Jie-Peck Yen Wei menentang Hoo Pang Ron-Toh Ee Wei.
Yang keduanya adalah melibatkan pasangan yang berada di ranking kesebelas dunia, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing menentang Chan Peng Son-Cheah Yee See.
Sementara itu, keputusan undian tersebut turut memperlihatkan beberapa wakil lain negara terpaksa berhadapan dengan pilihan utama kejohanan di peringkat yang sama, Pusingan 32.
Sebagai contoh, gandingan muda, Man Wei Chong dan Tee Kai Wun yang berada di ranking ke-30 dunia diundi menentang beregu No.1 dunia yang terkenal dengan julukan The Minions, Macus Fernaldi Gideon dan Kevin Sanjaya Sukamuljo.
Selain itu, beregu wanita negara yang merangkul pingat emas Sukan Komanwel 2022, Pearly Tan dan Thinaah Muralitharan perlu melepasi ujian pasangan No.3 dunia dari Korea, Lee So-hee dan Shin Seung-chan.
Hasil undian melibatkan wakil negara yang lain di Pusingan 32 adalah seperti berikut:
Perseorangan Lelaki
- Lee Zii Jia vs Srikanth Kidambi (India)
- Liew Daren vs Kodai Naraoka (Jepun)
Beregu Lelaki
- Aaron Chia-Soh Wooi Yik vs Liu Yu Chen-Ou Xuan Yi (China)
- Goh Sze Fei-Nur Izzuddin vs Muhammad Shohibul Fikri-Bagas Maulana (Indonesia)
- Ong Yew Sin-Teo Ee Yi vs Rubben Jille-Ties van Der Lecq (Belanda)
- Goh V Shem-Lim Khim Wah vs Supak Jomkoh-Kittinupong Kedren (Thailand)
Beregu Wanita
- Vivian Hoo-Lim Chiew Sien vs Linda Efler-Isabel Lohau (Jerman)
- Anna Cheong-Teoh Mei Xing vs Liu Xuan Xuan-Xia Yu Ting (China)
Beregu Campuran
- Goh Soon Huat-Shevon Lai vs Rehan Naufal-Lisa Ayu Kusumawati
Untuk makluman semua, saingan ini dijadualkan berlangsung bermula 30 Ogos sehingga 4 September kelak bertempat di Maruzen Intec Arena Osaka.
Hadiah keseluruhan yang ditawarkan bagi saingan ini berjumlah $750,000 Amerika atau bersamaan sekitar RM3.34 juta.