Majlis Undian Piala AFF Mitsubishi Electric 2022 Berlangsung Hujung Bulan Ini Di Bangkok 
August 10, 2022 Hafizuddin Omar

Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) mengumumkan majlis undian bagi kejohanan dwitahunannya, Piala AFF Mitsubishi Electric 2022 akan berlangsung di hujung bulan ini, 30 Ogos nanti.

Majlis itu dijadualkan bermula pada jam 3 petang (waktu Malaysia) dan diadakan di Bangkok, Thailand. Perkembangan tersebut dimaklumkan secara rasminya menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan pada hari ini. 

Sebanyak 10 pasukan akan mengambil bahagian dan majlis undian itu nanti akan membahagikannya kepada dua kumpulan – 5 pasukan bagi setiap kumpulan. Juara dan naib juara setiap kumpulan akan mara ke peringkat separuh akhir.

 

Kejohanan kali ke-14 ini bakal menyaksikan kembalinya format “home” dan “away” di peringkat kumpulan dimana setiap pasukan akan beraksi di laman sendiri dan laman lawan sebanyak dua kali masing-masing.

Sembilan buah pasukan iaitu Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam secara automatiknya layak beraksi di kejohanan ini.

Manakala Timor Leste dan Brunei Darussalam akan beraksi dalam pusingan kelayakan terlebih dahulu dan pemenang akan menjadi pasukan kesepuluh untuk menyertai kejohanan ini.

Sebagai rekod, Thailand hadir di kejohanan ini selaku juara bertahan. Skuad Gajah Perang muncul juara edisi lalu setelah menumpaskan Indonesia dengan keputusan 6-2 secara agregat Januari lalu. 

Komen