Kedua-dua pelari pecut negara, Muhammad Haiqal Hanafi dan Khairul Hafiz Jantan tidak dapat mara ke peringkat akhir acara 100 meter (m) lelaki di temasya Sukan Solidariti Islam Konya 2021 di Turkiye.
Ini disebabkan kedua-dua pelari yang merupakan pemenang pingat emas Sukan SEA Filipina 2019 dan Kuala Lumpur 2017 masing-masing ini terkandas di peringkat separuh akhir, semalam.
Pelari yang berusia 23 dan 24 tahun masing-masing ini menamatkan saingan peringkat terbabit di tempat ke-17 dan ke-18 daripada 24 peserta dengan catatan masa 10.46 saat (s) dan 10.49s masing-masing.
Untuk makluman semua, pada peringkat Pusingan 1, kedua-dua pelari ini merekodkan masa larian yang lebih baik berbanding di peringkat separuh akhir.
Perlumbaan yang berlangsung pada hari pertama temasya itu menunjukkan Haiqal berhasil menamatkan larian dalam tempoh 10.13s sekaligus memperbaharui rekod peribadi yang dihasilkan di Sukan SEA 2017 iaitu 10.35s.
Hafiz turut mencatatkan waktu larian yang lebih baik di Pusingan 1 iaitu 10.26s namun tidak memperbaharui rekod peribadi terbaiknya di Sukan Malaysia (SUKMA) 2016, 10.18s.
Featured Image: KBS Malaysia & Kuala Lumpur 2017