Kejohanan Dunia 2022: Liew Daren Bertemu Axelsen Seawal Pusingan 64, Zii Jia Menentang Pemain Perancis
August 10, 2022 Hafizuddin Omar

Hasil undian bagi Kejohanan Dunia BWF 2022 yang telah berlangsung pada hari ini menyaksikan salah seorang pemain negara terpaksa berhadapan dengan perseorangan lelaki No.1 dunia seawal peringkat Pusingan 64.

Pemain yang kurang bernasib baik tersebut ialah Liew Daren yang berusia 35 tahun. Dia bakal berdepan dengan Viktor Axelsen dari Denmark yang masih segar dengan kejayaan meraih tiga kejuaraan berturut-turut dalam saingan Terbuka Indonesia, Indonesia Masters dan Terbuka Malaysia pada Jun hingga Julai lalu.

Sementara itu, jaguh perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia yang diletakkan sebagai pilihan kelima untuk menjuarai kejohanan ini dijangka tidak berhadapan cabaran yang sukar di Pusingan 64 apabila diundi bertemu pemain Perancis, Brice Leverdez.

Tidak dilupakan, pemenang pingat perak Sukan Komanwel 2022, Ng Tze Yong yang diundang saat akhir ke kejohanan ini pula diundi menentang pemain dari negara jiran tetangga, Indonesia iaitu Chico Aura Dwi Wardoyo.    

Pertembungan kedua-dua pemain ini bakal menjadi satu perlawanan yang menarik kerana ini juga merupakan debut buat Chico di Kejohanan Dunia BWF. Selain itu, kedudukan ranking bagi kedua-dua pemain pula tidak begitu banyak berbeza dimana Tze Yong dan Chico berada di tangga ke-42 dan ke-36 masing-masing disamping perbezaan umur hanya dua tahun sahaja.

Untuk makluman semua, kejohanan ini akan berlangsung bermula 22 hingga 28 Ogos kelak bertempat di negara matahari terbit, Jepun.

Featured Image: Badminton Association of Thailand

Komen