Undian Kejohanan Dunia BWF 2022 yang berlangsung sebentar tadi memperlihatkan empat beregu lelaki negara mendapat ‘bye’ di Pusingan 64 sekaligus terus melangkah ke Pusingan 32 secara automatik.
Empat beregu lelaki negara yang akan mengambil bahagian dalam saingan ini ialah Aaron Chia-Soh Wooi Yik, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin serta Goh V Shem-Tan Wee Kiong.
Namun begitu, disebalik berita baik mendapat kemaraan percuma ke Pusingan 32, hasrat peminat badminton tempatan untuk melihat keempat-empat wakil negara mara jauh bakal tidak kesampaian.
Ini berikutan Aaron-Wooi Yik (pilihan ke-6) bakal bertemu Sze Fei-Izzuddin (pilihan ke-11) seawal Pusingan 16 sekiranya mereka berjaya mengatasi lawan masing-masing di Pusingan 32.
Sementara itu, dua lagi wakil negara yang lain, Yew Sin-Ee Yi (pilihan ke-9) akan menantikan cabaran samada beregu Perancis, Christo Popov-Toma Junior Popov atau beregu Singapura, Terry Hee Yong Kai-Loh Kean Hean di Pusingan 32.
Pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio 2016, V Shem dan Wee Kiong (pilihan ke-13) yang kembali bergandingan semula di kejohanan ini akan berhadapan samada beregu Denmark, Jeppe Bay-Lasse Molhede atau Sri Lanka, Sachin Dias-Buwaneka Goonethilleka di peringkat yang sama.
Untuk makluman semua, kejohanan ini akan bermula 22 dan tamat pada 28 Ogos kelak. Ianya akan dihoskan di ibu negara matahari terbit, Tokyo, Jepun.