Kejohanan Dunia 2022: Yeen Yuan-Valeree Bertembung Pearly-Thinaah Jika Mara Ke Pusingan 32
August 10, 2022 Hafizuddin Omar

Beregu wanita muda negara, Low Yeen Yuan dan Valeree Siow bakal melakukan debutnya dalam Kejohanan Dunia BWF 2022 bertempat di Tokyo, Jepun bermula 22 hingga 28 Ogos kelak.

Berdasarkan kepada undian yang berlangsung pada hari ini, pasangan pemain yang berusia 20 tahun masing-masing ini akan memulakan kempen kejohanan dunia dengan menentang beregu India, Treesa Jolly dan Gayatri Gopichand Pullela di Pusingan 64.

Sekiranya Yeen Yuan-Valeree berhasil melakar kejutan menumpaskan beregu yang berada di rangking ke-37 dunia ini di pusingan terbabit, mereka perlu berhadapan dengan beregu wanita No.1 negara, Pearly Tan dan Thinaah Muralitharan (pilihan ke-10) di Pusingan 32.

Pearly-Thinaah yang masih segar dengan kejayaan merangkul pingat emas di Sukan Komanwel Birmingham 2022 mara secara automatik ke Pusingan 32 apabila mendapat ‘bye’ di Pusingan 64 dalam sesi undian tadi.

Sementara itu, dua lagi beregu wanita negara akan bermula daripada Pusingan 64. 

Beregu yang berada di ranking ke-33 dunia, Anna Cheong dan Teoh Mei Xing diundi menentang pasangan Jerman yang berada di tangga ke-70 dunia, Stine Kuespert dan Emma Moszcztynki.

Manakala, beregu bebas (independent) yang ranking ke-35 dunia, Vivian Hoo dan Lim Chiew Sien akan berentap menentang juga pasangan Jerman, Linda Efler dan Isabel Lohau.

Featured Image: Petronas Brands Instagram

Komen