‘Sliding Tackle’ Hong Wan Sepatutnya Diberikan Kad Merah, Kata Subkhiddin
August 11, 2022 Hafizuddin Omar

Bekas pengadil FIFA, Subkhiddin Mohd Salleh berpendapat aksi “sliding tackle” yang dilakukan oleh pemain Johor Darul Ta’zim (JDT), Nathaniel Shio Hong Wan ke atas pemain Terengganu FC, Syafik Ismail sepatutnya diberikan kad merah.

Insiden terjahan keras itu dilakukan pemain kacukan China-Malaysia ketika mewakili pasukannya bertandang ke Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SMAZA), Gong Badak dalam saingan Liga Super, malam tadi.

Subkhiddin yang juga merupakan bekas Pengerusi Jawatankuasa Pengadil FAM memberikan pandangannya ketika menjawab persoalan seorang pengguna Twitter, @CafiqSahari samada situasi yang berlaku sekitar minit ke-75 permainan itu perlu dikenakan kad atau tidak.

Subkhiddin berpendapat Hong Wan perlu diberikan kad merah berdasarkan tiga pemerhatiannya yang berikut:

  1. Biru-6 berlari dari satu jarak dan melakukan aksi “sliding tackle” pada kelajuan tinggi. 
  2. Biru-6 gagal mengawal badannya yang terus ‘menggelongsor’ dan menyebabkan “force” berterusan di “point of contact” lawannya.
  3. Kaki Biru-6 lurus dan penggunaan stud adalah jelas semasa “tackle” dilakukan. 

Saya berpendapat Blue-6 bersalah untuk kesalahan serious foul play dan kad merah sepatutnya diberikan. kongsi pendapatnya selepas membuat pemerhatian di atas.

Beliau turut merujuk kepada Undang-Undang Permainan (Laws Of The Game) 2022/23, Undang-Undang 12 pada muka surat 106 yang diterjemahkan seperti berikut,

“Takel atau cabaran yang membahayakan keselamatan pemain lawan atau menggunakan daya yang berlebihan atau brutal mesti dihukum sebagai bermain dengan amat kasar.” 

“Mana-mana pemain yang menerjah terhadap pihak lawan semasa mencabar bola dari hadapan, dari sisi atau dari belakang menggunakan sebahagian atau kedua-dua kakinya, dengan daya yang berlebihan atau membahayakan keselamatan pemain lawan adalah bersalah kerana bermain dengan amat kasar.” 

Bagaimanapun, pengadil yang bertugas pada malam tadi, Mohd Hasrol Mohd Amir sekadar memberhentikan permainan namun tidak memberikan sebarang kad terhadap terjahan dilakukan oleh pemain berusia 21 tahun tersebut yang telah mempunyai satu kad kuning.

Featured Image: FAM

Komen