FAT Mengesahkan Trinidad & Tobago, Tajikistan Dan Malaysia Sertai King’s Cup
August 11, 2022 Hafizuddin Omar

Empat skuad kebangsaan yang akan menyertai kejohanan jemputan, King’s Cup anjuran Persatuan Bola Sepak Thailand (FAT) pada 20-26 September kelak telah disahkan.

Menerusi makluman di laman sosial badan induk bola sepak negara berkenaan pada hari ini, empat pasukan tersebut ialah Tajikistan, Malaysia, Trinidad & Tobago serta tuan rumah sendiri, Thailand.

Untuk makluman semua, berdasarkan kepada ranking dunia semasa, keempat-empat negara ini sedang menghuni tangga ke-108, ke-147, ke-101 dan ke-111 masing-masing.

Dengan pengumuman rasmi ini, ia sekaligus menafikan khabar angin bahawa pasukan di ranking ke-81 dunia dari benua amerika selatan, Bolivia menjadi salah satu yang akan dijemput dalam kejohanan ini.

Seperti dimaklumkan oleh FAT sebelum ini, kejohanan ini akan dilangsungkan di 700th Anniversary Stadium yang terletak di wilayah Chiang Mai.

Format kejohanan dijalankan secara kalah mati. Perlawanan pertama bermula dengan peringkat separuh akhir. Pemenang akan mara ke perlawanan akhir sementara pasukan yang kalah akan ke perlawanan penentuan tempat ketiga dan keempat.

Sebagai tambahan, Thailand menganjurkan kejohanan ini dengan salah satu objektifnya untuk meningkatkan ranking dunianya sebelum menyertai Kelayakan Piala Dunia 2026 bagi zon asia.

Komen