Artikel

Kejohanan Thanh Nien: Malaysia Muncul Naib Juara, Tumpas Penentuan Penalti Kepada Vietnam

Skuad kebangsaan bawah 19 tahun (B-19) menutup kejohanan jemputan, Kejohanan Bola Sepak Thanh Nien 2022 anjuran Konfederasi Bola Sepak Vietnam (VFF) selaku naib juara.

Perlawanan akhir yang berlangsung di Stadium Binh Duong menyaksikan skuad bimbingan Hassan Sazali Mohd Waras berhasil mengikat Vietnam 1-1 selepas beraksi selama 90 minit permainan.

Pasukan tuan rumah terlebih dahulu membuka jaringan menerusi Nguyen Van Tu seawal minit ke-11 permainan. Bagaimanapun, skuad negara berjaya menyamakan kedudukan menerusi Azhad Harraz Arman pada minit ke-84 untuk membawanya ke penentuan sepakan penalti.

Vietnam memastikan gelaran juara itu menjadi milik mereka apabila berjaya memenangi penentuan sepakan penalti tersebut dengan keputusan 4-3 ke atas Malaysia.

Untuk makluman, Malaysia yang menampilkan 70% muka baharu berbanding skuad yang menjuarai saingan Kejuaraan B-19 AFF berhasil menempah tiket ke perlawanan akhir selepas menamatkan saingan peringkat kumpulan di tempat kedua.

Tempat kedua itu diraih dengan mengumpul 4 mata hasil kemenangan ke atas Myanmar dan seri menentang Thailand. Satu lagi perlawanan menentang Vietnam berkesudahan dengan kekalahan.

Untuk pengetahuan semua, kejohanan ini disertai Malaysia sebagai persiapan untuk menghadapi cabaran Kelayakan Piala Asia B-20 yang akan berlangsung pada September nanti.

Featured Image: VFF

komen