Artikel

Lion City Sailors & Kim Do-hoon Berpisah Selepas Setahun Bersama

Pendahulu Liga Perdana Singapura (SPL), Lion City Sailors FC mengumumkan mereka berpisah dengan ketua jurulatihnya dari Korea, Kim Do-hoon.

Walaupun jurulatih yang membawa Ulsan Hyundai menjuarai Liga Juara-Juara AFC (ACL) 2020 ini mempunyai kontrak bersama skuad The Sailors sehingga 2023, penamatan kontraknya itu diumumkan secara rasmi menerusi satu kenyataan media kelab, semalam.

Kesepakatan penamatan kontrak antara kedua-dua pihak ini hadir sehari selepas Do-hoon dikenakan hukuman gantung 3 perlawanan SPL dan denda sekitar 2,000 Dolar Singapura oleh Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS).

Hukuman itu dikenakan atas alasan kelakuan ganas iaitu menanduk penolong ketua jurulatih Tampines Rovers, Mustafic Fahrudin di penghujung perlawanan SPL pada 24 Julai lalu di Stadium Jalan Besar.

Untuk rekod, Do-hoon diumumkan menyertai Lion City Sailors pada Mei 2021. Sekitar setahun bersama kelab kaya raya berpangkalan di Singapura ini, Do-hoon yang berusia 52 tahun ini telah membantu The Sailors memenangi saingan SPL 2021 dan Community Shield 2022.

Sebagai tambahan, dalam kenyataan yang sama, kekosongan yang ditinggalkan Do-hoon digantikan dengan Pengarah Teknikal Kelab, Luka Lalic selaku ketua jurulatih sementara (interim).

Featured Image: Lion City Sailors

komen