Sepak Mula MPFL 2023 Bermula Februari, Piala Futsal Malaysia Mula Ogos
August 12, 2022 Hafizuddin Omar

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengumumkan saingan Malaysia Premier Futsal League (MPFL) dan Piala Futsal Malaysia (MFC) musim hadapan akan bermula pada Februari dan Ogos 2023 masing-masing.

Perkembangan tersebut disahkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Futsal dan Bola Sepak Pantai FAM, datuk Seri Rusmadi Ismail menerusi satu kenyataan media, pada minggu ini.

Pada mesyuarat hari ini, kita telah berbincang dan memutuskan untuk saingan MPFL 2023 akan bermula pada Februari 2023 dan disusuli dengan saingan MFC 2023 yang dijadual bermula pada Ogos 2023.

“Jadual penuh dan terperinci akan diumumkan kemudian nanti kerana kita perlu mengambil kira tempoh bulan Ramadan bermula pada minggu terakhir Mac 2023, selain kejohanan-kejohanan antarabangsa yang bakal disertai pasukan futsal kebangsaan.

“Dengan kejayaan kita menganjurkan MPFL dan MFC bagi musim 2022, kita berharap dapat membuat penambahbaikan bagi menjadikan saingan MPFL dan MFC bagi musim 2023 lebih menarik dan kompetitif,” katanya.

Untuk makluman semua, musim ini menyaksikan saingan futsal negara kembali dihidupkan selepas terhenti selama dua musim ekoran pandemik Covid-19 yang melanda negara dan global.

Selangor MAC menjadi ‘raja’ bagi saingan futsal negara musim ini apabila muncul juara bagi kedua-dua kejohanan iaitu MPFL 2022 dan MFC 2022.

Komen