Artikel

Penang Lanjut Kontrak Zainal Sehingga 2023, Akmal Rizal Bimbing Skuad Simpanan B-23

Pasukan berpangkalan di utara semenanjung tanah air, Penang FC mengumumkan pembaharuan dalam Jawatankuasa Pemilihan Pemain bagi saingan Liga Super dan Liga Simpanan musim 2023.

Menerusi satu kenyataan rasmi pada hari ini, pembaharuan itu menyaksikan ketua jurulatihnya, Dato’ Zainal Abidin Hassan yang dilantik awal Jun lalu dilanjutkan kontraknya untuk mengemudi skuad Harimau Kumbang pada tahun 2023. Beliau akan dibantu oleh Manzoor Azwira selaku penolong ketua jurulatih.

Pada masa yang sama, bekas penyerang kebangsaan, Akmal Rizal Ahmad Rakhli pula bakal dilantik sebagai ketua jurulatih skuad simpanan bawah 23 tahun (B-23) yang akan beraksi dalam kancah Liga Simpanan bermula musim hadapan.

Berbalik kepada Jawatankuasa Pemilihan Pemain tersebut, ianya akan dipengerusikan oleh Pengarah Teknikal, Tuan Haji Kamal Kalid dan turut dianggotai oleh Sam Pakiaraj (saringan kecergasan) dan Hisham Jainudin (pemilihan penjaga gawang) selain daripada tiga nama di atas.

Jawatankuasa ini dipertanggungjawabkan untuk menyusun semula langkah-langkah penambahbaikan dan pembetulan kaedah-kaedah pengambilan bagi menentukan pemain-pemain sedia ada yang layak dikekalkan untuk musim hadapan dan pengambilan pemain-pemain baru,” 

“Penggubalan sistem pengujian tahap kecergasan dan kesihatan pemain serta merangka perancangan kesinambungan perbekalan pemain yang lebih berintegriti, telus dan realistik dengan bajet yang diperuntukkan.” kata kenyataan rasmi kelab.

Sebagai rekod, Zainal dilantik pada Jun lalu bagi menggantikan jurulatih Republik Czech, Tomas Trucha yang berpisah dengan Penang FC.

Sejak daripada saat itu, Penang yang dibimbing Zainal telah meraih satu kemenangan dan satu seri daripada tujuh perlawanan Liga Super yang dikendalikannya.

Featured Image: Malaysian Football League

komen