Artikel

TeamViewer Tidak Berniat Lanjut Perjanjian Penajaan Bersama Man Utd

Syarikat perisian yang menawarkan sokongan untuk mengawal komputer peribadi secara jarak jauh, TeamViewer menyatakan tidak akan melanjutkan perjanjiannya bersama Manchester United (Man Utd).

Syarikat berpangkalan di Jerman itu menandatangani perjanjian penajaan bersama skuad Red Devils pada tahun lalu dengan kontrak selama lima tahun.

Berdasarkan pelbagai laporan media, perjanjian sehingga tahun 2026 itu memberikan Man Utd penajaan berjumlah sekitar 47 juta pound sterling setahun. Jumlah itu menjadikan TeamViewer menghiasi bahagian hadapan jersi-jersi perlawanan Man Utd menggantikan penaja terdahulu, Chevrolet.

Bagaimanapun setelah tamatnya perjanjian tersebut, bahagian hadapan jersi-jersi perlawanan Man Utd hampir pasti akan dihiasi dengan syarikat lain memandangkan ianya tidak lagi akan ditaja oleh syarikat ini. 

TeamViewer menerusi satu kenyataan di dalam Penyata Suku Ke-2 yang diterbitkan baru-baru ini menyatakan, “untuk jangka masa panjang, TeamViewer tidak berniat untuk melanjutkan perjanjian penajaan bersama Manchester United melebihi tempohnya.”

Difahamkan, walaupun kerjasama bersama pasukan yang dibimbing oleh Erik ten Hag ini memberikan peningkatan penjenamaan yang positif, TeamViewer memutuskan untuk menilai semula strategi pemasaran jangka masa panjangnya.

Featured Image: Manchester United

komen