K-KOMM: RTM Siar 41 Perlawanan Piala Dunia 2022 Qatar Secara Percuma
August 14, 2022 Hafizuddin Omar

Radio Televisyen Malaysia (RTM) secara rasminya akan menyiarkan kejohanan Piala Dunia 2022 Qatar secara percuma kepada peminat bola sepak tempatan.

Perkara tersebut diumumkan oleh Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM) menerusi menterinya, Tan Sri Annuar Musa dalam Program Menjelang Sepak Mula Piala Dunia FIFA 2022, hari ini.

Dimaklumkan, stesen televisyen milik kerajaan itu akan menyiarkan sebanyak 41 perlawanan secara keseluruhan termasuk perlawananan akhir untuk kejohanan kali ke-22 ini.

“Kali ini saya difahamkan RTM telah dapat secure sebanyak 27 perlawanan yang disiarkan secara langsung dan 14 perlawanan tertunda yang merupakan televisyen siaran percuma (free to air) yang mana rakyat akan dapat mengikuti perlawanan siaran langsung dan tertunda tanpa sebarang bayaran.” katanya semasa berucap tadi.

Buat para peminat bola sepak sekalian, siaran langsung percuma ini dapat ditonton menerusi saluran TV2, TV Okey, Sukan RTM serta laman sesawang penstriman langsung, RTM Klik.

Difahamkan, kos membeli hak siaran ini ditanggung sebahagiannya oleh kerajaan. Namun begitu, Annuar menegaskan adalah menjadi tanggungjawab RTM untuk berkolaborasi dengan syarikat-syarikat swasta dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang lain untuk bersama-sama menanggung kos pembiayaan membeli hak penyiaran ini.

Sebagai tambahan, saingan bola sepak terulung ini akan membuka tirainya pada 20 November dan tamat pada 18 Disember kelak.

Featured Image: FIFA World Cup

Komen