Skuad Lelaki Negara Muncul Juara Kejohanan Hoki Dalam Dewan Piala Asia 2022
August 16, 2022 Hafizuddin Omar

Skuad hoki lelaki negara melakar sejarah apabila berjaya menjuarai Kejohanan Hoki Dalam Dewan (Indoor) Piala Asia buat julung kalinya, semalam.

Lebih manis, kejayaan itu dicipta dengan menumpaskan juara bertahanan, Iran dalam penentuan shoot-out yang berkesudahan dengan keputusan 3-2 di Stadium Tertutup Huamark, Bangkok, Thailand.

Sebelum pencarian pemenang perlawanan akhir ini ditentukan menerusi shoot-out, Malaysia yang berada di ranking ke-21 dunia terikat 4-4 selepas mengharungi 40 minit perlawanan sebenar.

Jaringan pasukan negara disumbangkan oleh Muhammad Ashran Hamsani (2 gol) serta Shello Silverius dan Mohd Norhafizie Jamil Azomi.

Kejayaan skuad negara merangkul kejuaraan ini turut diserikan dengan pemain negara, Norsyafiq Sumatri diangkat selaku pemain terbaik perlawanan akhir ini.

Untuk makluman semua, Iran merupakan juara lapan kali berturut-turut bagi setiap edisi kejohanan ini semenjak ia dilangsungkan buat pertama kali pada tahun 2008. 

Featured Image: Malaysian Hockey Confederation

Komen